CARA PENJAGAAN ORKID
Pada bab ini penulis membincangkan elemen-elemen penting untuk mendapatkan orkid yang hidup subur, sihat dan seterusnya memberikan anda kepuasan melihat bunganya. 4 elemen yang dibincangkan nanti adalah daripada pengalaman penulis dan perkongsian maklumat sesama penanam orkid berdasarkan cuaca iklim tropika di Malaysia. Pengalaman penulis, penjagaan seperti penyiraman dilakukan secara automatik pada hari bekerja. Pada hari cuti hujung minggu, penulis lakukan siraman secara manual, pemeriksaan penyakit, pembajaan dan pembiakan jika perlu.
‘ROOT GOOD, GROWTH GOOD, FLOWER GOOD’
Kata-kata di atas adalah satu lagi petua yang amat bagus untuk anda ingat di dalam penjagaan orkid. Setiap pokok baru di tanam atau pemindahan pasu , penulis akan memberi perhatian lebih di dalam usaha untuk memberi pertumbuhan akar baru dengan baik dan sihat.
1. Penyiraman
Jika anda ragu ragu untuk menyiram, JANGAN SIRAM !
Di atas adalah satu petua yang popular dan dijadikan panduan oleh penanam orkid. Ini kerana dibimbangi anda telah melakukan penyiraman yang melampau terhadap koleksi orkid anda. Kesan buruk tabiat ini ialah anda ‘menjemput’ penyakit kepada kloeksi orkid anda. Ini kerana orkid mampu menyimpan air di dalam bebawangnya seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Orkid juga mempunyai akar udara yang mampu menyerap wap air di persekitaran hidupnya. Walaupun begitu kadar penyiraman orkid bergantung kepada beberapa faktor seperti:
a. Cuaca semasa
Kadar kekerapan penyiraman di musim panas sudah tentunya lebih berbanding di musim hujan.
b. Media tanaman digunakan
Jika anda menggunakan media yang dapat menyimpan air lebih lama, maka kadar penyiraman hendaklah kurang daripada media yang cepat kering.
c. Iklim mikro
Bermaksud adalah iklim kawasan penanaman anda. Ini kerana iklim mikro adalah berbeza beza di antara anda dengan penanam orkid yang lain.
Penyiraman hendaklah dilakukan sebaik baiknya pada waktu pagi atau petang. Penyiraman di waktu tengahari akan menyebabkan air yang bertakung di celah daun akan menyebabkan penyakit reput pucuk dan daun melecur dek proses pemanasan air oleh matahari.
Teknik penyiraman boleh digunakan secara manual atau memasang satu sistem penyiraman automatik yang mudah seperti penulis gunakan.
2 . Pengudaraan
Orkid memerlukan pengudaraan yang baik supaya tidak mudah di serang penyakit terutamanya penyakit yang disebabkan bawaan kulat. Pengudaraan yang baik boleh diberi dengan susun atur orkid yang tidak terlalu padat atau membekal pengudaraan buatan seperti memasang kipas. Penulis hanya menggunakan teknik susun atur orkid sahaja bagi menjimatkan kos selengaraan.
3. Pembajaan
Pembajaan adala sesuatu yang mesti diberi kepada tanaman termasuk orkid untuk mendapatkan kualiti hidup orkid yang lebih baik. Bagaiman teknik membaja orkid?
‘WEAKLY, WEEKLY‘
Di atas adalah satu lagi petua yang bagus di jadikan panduan untuk anda membaja orkid. Ia membawa maksud anda menggunakan sukatan kepekatan baja yang rendah untuk setiap minggu semburan. Orkid hanya menyerap nutrien yang diperlukan sahaja pada sesuatu ketika. Jangan menggunakan kepekatan tinggi dan disembur sebulan sekali. Ini adalah teknik yang salah dan merugikan anda.
a) Panduan memilih baja
Penerangan unsur unsur di dalam baja bagi keperluan tanaman adalah kompleks. Penulis cuba ringkaskan bahawa pemilihan baja bergantung kepada kehendak anda. Dipasaran terdapat pelbagai jenis baja yang dijual untuk pilihan pengguna. Jika inginkan tumbesaran pokok anda perlukan baja yang mengandungi kadar nitrogen (N) yang lebih tinggi. Jika untuk pembungaan, anda perlukan baja yang kandungan fosforus(P) dan kalium(K) yang lebih tinggi.
Biasanya pada label baja akan tertera semua kandungan ketiga-tiga unsur tersebut.
Contoh: Baja A : N P K +TE : 13 27 27 1%
Untuk Baja A tersebut, ia sesuai untuk pembungaan orkid anda kerana mengandungi unsur nitrogen 13 % dan unsur fosforus dan kalium sebanyak 27%. +TE di sini bermaksud baja ini mempunyai ‘trace element’ atau unsur surih sebanyak 1%. Unsur surih bermaksud nutrien tambahan yang diperlukan oleh tanaman tapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Ia boleh diumpamakan seperti anda makan nasi dengan aneka lauk pauk. Nasi adalah keperluan utama anda, lauk pauk ada keperluan sampingan sahaja.
Penulis menggunakan baja organik ‘B’GREEN seaweed’ untuk memberi pertumbuhan yang sihat dan ‘B’GREEN bloom & fruit’ untuk membekal nutrien yang diperlukan untuk orkid berbunga.
B’GREEN seaweed adalah baja organik campuran yang diperkaya dengan seaweed yang mana ia telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai baja kerana mengandungi beberapa hormon semulajadi yang amat diperlukan oleh tumbuhan, mengandungi 60 unsur surih(TE) dan mengandungi elemen sebagai anti beberapa penyakit bawaan kulat dan serangga penghisap cecair tumbuhan.
B’GREEN bloom & fruit adalah campuran baja bukan organik N P K +TE : 5 35 15 2% dengan satu bahan organik bertujuan untuk mempermudahkan dan mempercepatkan kadar penyerapan nutrien oleh tumbuhan.
Kawalan penyakit dan perosak orkid
Kawalan perosak merupakan satu perkara amat penting untuk anda ambil perhatian. Ini kerana ia mempengaruhi kualiti hidup orkid dan mungkin yang lebih penting anda mungkin kehilangan orkid anda selamanya.
Penyakit orkid boleh dikelaskan kepada bawaan 4 elemen, iaitu virus, bakteria, serangga dan kulat. Kemahiran mengenal penyakit memerlukan pengetahuan dan pengalaman kerana kadang kala sesuatu penyakit itu mempunyai tanda yang sama untuk bawaan virus atau bakteria atau kulat. Di sini penulis berkongsi pengalaman untuk rawatan penyakit bawaan serangga, kulat dan bakteria sahaja.
1. Virus
Penyakit bawaan virus agak sukar untuk kita kenal pasti secara teliti kerana memerlukan ujian makmal. Bagaimanapun serangan virus hanya melemahkan pokok orkid anda, tidak menyebabkan kehilangan poko k orkid kesayangan anda. Untuk mengelakkan jangkitan virus anda perlu menjaga kebersihan kawasan penanaman. Untuk rawatan , anda perlu memusnahkan pokok yang dijangkiti. Ya , sudah pasti ia satu keputusan yang sukar untuk anda!
2. Bakteria
Biasanya tanda penyakit orkid disebabkan bakteria meyamai dengan penyakit bawaan kulat. Apa yang penulis perhatikan, penyakit bawaan bakteria adalah lebih cepat merebak berbanding bawaan kulat. Tanda biasa penyakit bawaan bakteria ialah reput pada mana-mana bahagian pokok dan berbau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan pengudaraan yang kurang baik adalah antara faktor jangkitan.
Antara penyakit bawaan bateria adalah:
Reput bakteria (Bacterial rot) – satu bintik coklat berair pada daun, cepat merebak. Biasa menyerang orkid famili Phalaenopsis.
Reput daun ( Brown Rot) – bintik berair pada daun, daun kuning dan gugur.
3. Kulat (fungus)
Tanda seperti disebabkan oleh bakteria tetapi kadar merebak lebih lambat dan tidak mengeluarkan bau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan pengudaraan yang kurang baik adalah punca utama jangkitan. Antara penyakit bawaan kulat yang biasa menyerang orkid ialah:
Antraknose
Black leaf spot
Cercospora leaf spot
Reput hitam ( Black rot)
Reput pangkal ( Basal rot)
Reput pucuk ( Crown rot)
Oleh sebab itu ada pengeluar yang mengeluarkan racun 2 dalam 1 iaitu untuk merawat penyakit kulat dan bakteria serentak. Ada racun yang dijual boleh merawat beberapa jenis penyakit dan ada yang tertumpu kepada satu jenis penyakit sahaja untuk pilihan pembeli.
a) Rawatan terhadap bakteria dan kulat
Potong dan buang bahagian jangkitan. Jika orkid simpodial, penulis membuang rumpun kecil yang dijangkiti. Jika orkid monopodial, ia biasa berlaku pada daun, penulis hanya memotong daun yang dijangkiti sahaja.
Sapukan atau semburkan racun kulat yang bersesuaian dengan penyakit kepada rumpun atau pokok yang telah sihat untuk langkah berjaga mengelakkan jangkitan.
Perhatikan perkembangan rumpun atau pokok yang telah dirawat, jika masih terdapat sebarang jangkitan, ulangi proses di atas.
4. Serangga
Serangan serangga terhadap orkid adalah sesuatu yang biasa. Antara serangga yang popular menyerang orkid adalah :
a. Semut
e. White flies
b. Aphid
f. Mites
c. Lipas
g. Scale insects
d. Kumbang
h. Siput
Aphid, Mealy bug, Mites, Scale insects dan Thrips adalah serangga penghisap cecair tumbuhan. Mereka biasa terdapat di bawah daun orkid dan mudah di lihat dengan mata kasar. Ia akan menyebabkan pertumbuhan pokok terencat. Kehadiran mereka boleh di kesan seperti berikut:
Aphid- terdapat warna kehitaman pada pokok , biasanya di bawah daun dan celahan daunan dan batang orkid.
White flies – seperti lalat kecil warna putih berdebu berkelompok di belakang daun.
Mites – warna kemerahan di belakang daun, belakang daun akan menjadi kuning dan hitam jika jangkitan teruk serta cepat merebak. Ia suka keadaan yang kering.
Scale insect – warna kuning keputihan di atas daun dan batang pokok orkid.
Thrips – warna agak coklat di atas daun orkid.
Koleksi penulis biasa diserang oleh mites dan white flies sahaja. Ia menyerang orkid yang mempunyai daun yang lembut seperti famili Sphatoglottis, Catasetum dan Coelogyne.
Kumbang, lebah dan semut akan merosakkan bunga yang telah kembang dengan memakan kudup bunga dan juga pendebugaan yang tidak kita kehendaki. Koleksi penulis biasa di serang kumbang berwarna kuning yang selalu meninggalkan larva pada tangkai bunga yang akan memakan keseluruhan bunga. Lebah dan semut tidak menjadi masalah utama kepada koleksi penulis.
Siput dan lipas akan memberi masalah dengan cara ia memakan akar dan pucuk muda pokok orkid anda. Ini akan merencatkan pertumbuhan pokok. Koleksi penulis hanya berhadapan dengan masalah siput sahaja.
Panduan membeli racun serangga dan kulat
Beli racun yang boleh merawat penyakit yang anda kehendaki. Biasanya pengeluar akan memberi informasi ini pada bungkusan racun. Ini kerana kadangkala terdapat penjual yang kurang pengetahuan mengenai penyakit orkid dan racun yang sesuai untuk rawatan.
0 comments:
Post a Comment