loading...

Mawaddah Wa Rahmah Dalam Rumah Tangga


Mawaddah Wa Rahmah Dalam Rumah Tangga | Rumahku Syurgaku adalah wawasan berteraskan ajaran Rasulullah s.a.w. . Untuk mencapai taraf syurga di dalam sebuah rumah tangga , semua keperluan mesti dipenuhi . Elemen penting dalam keperluan ini ialah hubungan yang baik dan berkesan dalam rumah tangga berasaskan kasih sayang yang kukuh .

Kebahagiaan sesebuah rumah tangga memerlukan keseimbangan dari segi emosi , rohani dan jasmani berpaksikan kasih sayang . Kehilangan keseimbangan ini bermakna kekeringan kebahagiaan keluarga . Kebahagiaan adalah sesuatu yang lahir dari hati seseorang . Kebahagiaan dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang hati dan gembira dan dapat dilihat melalui raut wajah dan tigkah lakunya . 

Mawaddah Wa Rahmah Dalam Rumah Tangga

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

" Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging . Apabila ia baik , baik pulalah seluruh badan , tetapi apabila ia rosak , rosak pulalah seluruh badan . Ingatlah ia adalah hati . "
( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Setiap pasangan suami isteri hendaklah memastikan yang hubungan mereka sesama sendiri dan hubungan mereka dengan anak-anak adalah sentiasa baik yang timbul dari hati yang baik .

Kasih sayang dan belas kasihan atau mawaddah wa rahmah seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas , bermaksud bahawa hubungan ibu bapa sebagai suami isteri hendaklah berasaskan sentiasa kasih mengasihi , bertolak ansur , memperbanyakkan sabar , tabah di dalam menghadapi gelora rumahtangga dan menjadikan sifat suka bermaaf - maafan sebagai amalan yang berterusan .

Suami dan isteri perlulah meletakkan kasih sayang dan belas kasihan , sebagai asas dalam kehidupan berumah tangga . Tanpa kasih sayang dan belas kasihan , sesuatu ikatan perkahwinan itu tidak menuju ke istana bahagia seperti yang diharapkan , malah ia akan mengubah haluan kepada kehancuran . 

Hubungan antara ibu dan bapa dibentuk dalam keadaan ' makruf ' ( baik ) akan membenihkan kasih sayang yang bertunas dan bercambah ke dalam ahli keluarganya . Anak yang melihat kasih sayang antara ibu dan bapanya akan turut sama menikmati kemanisan suasana itu . Ini bermakna cara terbaik menyanyangi anak ialah dengan menyanyangi pasangan masing-masing .

Langkah menzahirkan kasih sayang dalam keluarga memerlukan beberapa prasyarat . Antara lainnya :
  • memahami keperluan emosi
  • meluangan masa indah bersama keluarga 
  • menyemarakkan kemesraan 
  • mewujudkan komunikasi secara efektif
  • membudayakan nila-nilai murni keluarga 
  • memikul tanggungjawab bersama 
  • mengutamakan keluarga dalam perancangan masa depan 

Kunci penting dalam mewujudkan hubungan yang kukuh di kalangan anggota keluarga ialah rasa penuh tanggung jawab dan kasih sayang . Kalau tanggung jawab semata -mata , ia mungkin menjadi tandus . Kalau semata-mata kasih sayang , ia mungkin berubah . Oleh itu , hubungan perlu diwujudkan dengan rasa tanggung jawab dan penuh kasih sayang . Dengan yang demikian , kehidupan keluarga menjadi sebuah taman indah iaitu seperti sebuah ' raudhah ' .

Kasih sayang adalah sangat penting dalam sesebuah keluarga . Sekiranya tiap-tiap rumpun keluarga itu tidak mewujudkan satu ikatan yang baik dan harmoni , maka kedudukan sesebuah masyarakat itu akan pincang , justeru bangsa dan negara menjadi lemah . 

Apabila situasi ini berlaku , kemajuan tidak akan dapat dicapai dan masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan . Begitulah pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh setiap ahli keluarga bagi mencapai hasrat yang dicita-citakan .


0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2015-2016 SUATU KEHIDUPAN
| Distributed By Belog Kehidupan